AHAD, 17 FEBRUARI 2013
Surat Terbuka Untuk Ustaz Faisal & Ustaz Hud
Assalamu'alaikum kepada ustaz Faisal Elias dan juga ustaz Salehuddin Ali.
Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana mengambil inisiatif menulis surat terbuka kepada tuan berdua. Saya sedar bahawa tuan berdua pernah menjadi pemimpin saya semasa tuan masih bersama Abuya dan juga Wasilah. Namun tuan telah memilih jalan yang berbeza tetapi saya yakin tuan berdua masih ada keyakinan yang sama dengan saya. Jauh tersimpan di lubuk hati tuan berdua, peranan Bonda Wasilah AR di waktu ini tidak mampu dinafikan. Tuan berdua tidak mampu menipu hati kecil sendiri, saya amat percaya perkara tersebut berlaku dalam diri tuan berdua. Dalam diri ada dilema.
Tuan-tuan yang saya kasihi,
Surat ini mungkin akan menyentuh beberapa perkara peribadi. Bukan cara yang tuan-tuan suka, secara fitrahnya semua orang pun memang tidak suka. Tetapi adakalanya, cara itulah yang dapat menyedarkan kita bahawa kita juga sering melakukan perkara yang orang lain tidak suka. Moga apa yang saya bentangkan di sini, akan menjadi iktibar buat diri saya, tuan berdua dan pembaca yang berfikiran terbuka. Bagi mereka yang memang sudah tertutup cara berfikirnya, saya tidak perlu langsung melayani mereka, biarlah mereka dengan dunia kecilnya.
Tuan berdua yang pernah berbudi kepada saya,
Suka saya menyorot perihal kepimpinan tuan yang di kira jauh berkaliber dan berwibawa di kalangan barisan kepimpinan jemaah suatu ketika dulu. Ustaz Faisal antara orang yang telah dibina oleh Abuya sejak kecil dan seterusnya diambil menjadi menantu. Antara orang yang berpotensi untuk masa depan perjuangan. Pasti firasat mursyid tidak meleset dalam hal ini. Tetapi kenapa tuan terpisah dengan jemaah Abuya pada waktu ini? InsyaAllah selepas ini akan diberikan pandangan peribadi saya dalam hal ini.
Ustaz Salehuddin adalah antara rakan saya. Mudah berkawan dengan tuan. Tuan memang bersifat pemurah dan mempunyai kesetiaan yang tinggi. Tuan telah curahkan kesetiaan tersebut kepada Tok Hasyim dan mengangkatnya menjadi mentor peribadi sejak lama. Saya yakin tuan tidak tersinggung dengan pernyataan ini, bahkan tuan berbangga dengan itu. Perkara yang sering tuan lagukan. Tahniah!
Tuan-tuan berdua,
Secara peribadi, saya melihat ada sedikit kelemahan dan kepincangan dalam minda dan kehidupan berkeluarga tuan berdua. Maafkan saya, ini bukan firasat tetapi pandangan mata lahiriah menurut ilmu yang singkat.
Bagi ustaz Salehuddin, isteri pertama tuan sering merayu untuk ikut serta dalam program dan perkembangan jemaah. Dia dibesarkan dengan jiwa dan minda Abuya. Tetapi bila menjadi isteri tuan, dia seolah-olah dibekukan sebagai suri rumah tangga sepenuh masa. Macam orang yang tidak kenal perjuangan dan tiada jiwa agama. Menumpukan kepada usaha niaga, kononnya itulah cara terbaik dia berkhidmat kepada suaminya.
Memang betul. Dia mungkin menerima semua takdir terhadap dirinya, sekalipun dalam keadaan paksarela. Namun dalam diam-diam, dia mengadu juga kepada manusia. Menangis dan merintih kepada Tuhan memang dibuatnya, kepada kawan-kawannya diluahkan juga sekali sekala. Penderitaan jiwanya, pernahkah tuan selami sedalam-dalamnya? Bukan penderitaan biasa, tetapi derita kerana jauh dari suasana jemaah yang menjadi kerinduannya. Tidakkah tuan rasa bersalah dalam hal ini?
Hidup berpoligami yang tidak berterus terang dengan keluarga, bukahkah itu yang terjadi kepada isteri-isteri muda? Tidak perlu jawap kepada saya, tuan ada mursyid, ada Rasul dan Tuhan yang tahu segala-galanya.
Tuan sering pertikaikan ketokohan dan ketulusan Syeikh Fakhurrazi Attamimi AR dan tidak kurang juga Syeikh Nizamuddin Attamimi. Kelemahan yang kononnya tidak berlaku kepada Tok Hasyim. Seolah-olah mereka ada kelemahan yang mengurangkan 'derajatnya' berbanding Tok Hasyim. Tuan mungkin tidak sedar perkara ini, tetapi orang yang mendengar kata-kata tuan amat tersinggung, terutamanya saya.
Saya lihat, cara berfikir tuan lebih kepada berniaga. Walhal bukankah tuan lama dalam pendidikan Abuya? Kenapa pendidikan tidak menjadi jiwa dan fokus yang lebih utama daripada berniaga? Sedangkan perniagaan yang Abuya buat hanya untuk fardhu kifayah, strategi dan untuk keperluan hidup saja. Perjuangan Abuya lebih besar dan lebih utama adalah dalam soal mendidik dan membangunkan keluarga role model untuk ditiru oleh masyarakat yang sudah hilang punca. Kalau sekadar boleh berniaga, hebat lagi cina!
Jelas pada saya, cara berfikir tuan tidak menepati jiwa dan minda Abuya hakikatnya. Cuma memang tuan orang yang boleh berniaga, pemurah pula, tentulah Tuhan salurkan bantuan. Hakikatnya itu semua berkat mursyid juga.
Ustaz Faisal pun hampir sama juga dari sudut hidup berkeluarga. Tuan menjadi menantu, suami kepada anak perempuan Abuya yang termasuk berilmu dan berwibawa. Bertuah tetapi sayang, bermadu tidak nampak ketara. Sukar anak buah melihat tuan berjalan bersama-sama. Tidak seperti abang-abang ipar tuan Syeikh Fakhurrazi Attamimi AR, Syeikh Nizamuddin Attamimi AR dan Syeikh Nasrullah Attamimi AR yang sangat menonjol kewibawaan sebagai pemimpin dan ketua keluarga.
Mungkinkah perkara tersebut terjadi kerana tuan tidak memandang besar kepada mereka, sedangkan mereka bertiga adalah bayangan ayahanda mertua tuan, Abuya.
Dalam kepimpinan, ustaz Faisal memang ada bisa. Tetapi keluarga berpoligami tidak sungguh dijadikan role model, anak buah berkata-kata juga akhirnya. Kenapa terlalu lemah, mustahil takut bini pula. Hati kecil manusia tak boleh ditipu atau dibuat silap mata.
Saya berpendapat, kelemahan inilah yang Abuya suruh renungkan untuk diperbetulkan semula. Menjadi agenda utama oleh Abuya bahkan dijaja-jaja ke mana-mana sahaja. Kenapa tuan berdua dalam hal ini macam tak bersemangat saja?
Rasanya inilah kelemahan yang tuan tidak sedar mengelilingi orang-orang yang sehaluan cara berfikirnya dengan tuan berdua. Tuan telah memandang rendah pada kaum hawa. Kononnya wanita tidak boleh langsung diberi muka. Benarkah itu minda Abuya atau minda orang kedua yang anda percaya dalam jemaah selepas Abuya?
Tuan-tuan yang berada di sebelah sana,
Setelah beberapa bulan tidak bersama dengan Bonda Wasilah AR, mesti tuan terasa bezanya. Ustaz Salehuddin pernah berkata, apa yang terjadi akan menyaring munafik yang berada di kedua-dua pihak. Saya pada dasarnya setuju dan menunggu ianya berlaku.
Apa yang berlaku dalam jemaah sekarang, dari semasa ke semasa ada saja yang dikuarantin bagi memberi peluang kedua. Bagi mereka yang tembelangnya sudah pecah, terpaksa dibuang atau dikeluarkan secara paksa. Tidak kiralah orang tersebut dekat atau perah mendapat tempat atau tidak di hati Bonda. Begitulah Bonda melaksanakan amanah dari RSA selaku wasilah selepas ghaibnya Abuya. Tidak dipertahankannya sesiapa pun, melainkan kebenaran dan ketulusan menjadi neracanya. Beliau taat dengan arahan dan ketetapan oleh RSA.
Tetapi yang peliknya, di pihak sana, teruslah mengumpulkan orang yang bermacam-macam warna! Saya meminjam kata-kata Syeikh Nasrullah Attamimi AR yang mengulas tentang keadaan semasa GBA beberapa hari lepas semasa sempat menziarahinya.
Nampaknya, tidak berlaku kaedah penyaringan malah atas nama berbaik-baik dan mengumpulkan kekuatan, segala macam jenis orang boleh bersama. Rasanya tuan berdua amat tidak selesa dengan itu semua. Tapi apakan daya, pilihan telah dibuat, bukan mudah nak mengundurkan semula.
Ustaz Faisal menurut cerita awalnya sangat berbelah bagi nak memilih ke sini atau ke sana. Dia kenal sangat orang yang berpura-pura dan berlagak pandai di pihak sana. Dia juga amat menerima kewajaran peranan wasilah tetapi keraguan tetap ada sehingga saya sendiri mendengar dia mempersenda-sendakan gelaran yang RSA berikan seperti AR dan sebagainya. Kononnya itu semua boleh dibeli dengan duit saja.
Saya rasa cukuplah perkara yang telah diperkatakan untuk renungan bersama. Masa belum terlambat untuk tuan berdua membetulkan keadaan. Saya yakin sangat bahawa tuan mula menderita kerana hilang suasana perjuangan sepatutnya sudah hampir kemuncak tetapi menjadi seperti baru bermula. Rasanya tidak perlu menipu diri sendiri demi mempertaruhkan perkara yang sudah jelas kebenarannya.
Tuan berdua,
Firasat Abuya terhadap ustaz Faisal tidak meleset sama sekali. Tetapi pengorbanan perlu dilakukan demi membetulkannya. Bukankah Syeikh Nizam pernah disuruh meminta maaf kepada Jundullah dan membuat roadshow seluruh Malaysia hanya kerana terkhilaf dalam meraikan kepimpinan Abuya? Bukan mudah apa yang terpaksa dilakukan oleh YBM Syeikh Nizamuddin Attamimi, tetapi begitulah proses yang perlu dilalui untuk meningkatkan darjat beliau nun jauh menjadi terlalu tinggi.
Sebenarnya telah banyak contoh dalam perjuangan, pengorbanan mesti dilakukan untuk mendapat kebenaran. Bukan mudah dan tidak ada jalan mengelakkan daripada mesti berkorban dan bila berkorban, pasti terkorban. Demi kebenaran, demi Tuhan!
Sekian ampun maaf kepada tuan berdua. Tentulah ada salah kata dan terkasar bahasa. Terpulanglah tuan berdua melihat dari sudut mana. Kebenaran tetaplah di pihak Abuya dan wasilah terbukti terus dibela oleh RSA dengan diperlihatkan oleh mereka dengan bermacam-macam tanda. Selagi hati kecil terbuka, pasti tuan dapat menerimanya. Tetapi semua ini rezeki, tiada siapa dapat menduga. Kepada Allah kita berserah jua.
Sekian, wallahu'alam.

0 komentar:
Posting Komentar